!! Live.Love.Laugh !!

Friday, March 25, 2011

Home » , , » Marsha AF3 sudah berpunya

Marsha AF3 sudah berpunya

MARSHA Londoh merupakan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) yang paling popular selepas juara program realiti televisyen (TV) musim itu, Mawi mencetuskan fenomena lapan tahun lalu.

Biarpun populariti Mawi dikatakan semakin merudum, tetapi ia sebaliknya buat Marsha yang kini semakin laris dengan tawaran berlakon drama, telemovie mahupun filem.

Pelakon dan penyanyi yang dilahirkan di Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat pada 6 November 1985 itu bukan setakat menjadi sebutan para peminat kerana bakat seninya.

Malah, Marsha yang dibesarkan di Tamparuli, Sabah ini juga sering mencetuskan banyak gosip panas yang mengaitkannya dengan ramai artis mahupun selebriti terkenal tanah air.

Dalam pada sibuk menafikan semua gosip itu termasuklah pernah dikaitkan bercinta dengan Yusry KRU, Hans Isaac dan Ramli MS, tetapi baru-baru ini dia mengakui hatinya sudah dimiliki.

Menurut penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini, dia kini sedang menjalani perhubungan intim bersama seorang jejaka Melayu yang dikenali sebagai Z sejak mereka berkenalan setahun lalu.

“Teman lelaki saya itu bukannya artis tetapi dia orang biasa dan bekerja di pejabat sahaja. Adalah EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk bekalan semasa hari tuanya nanti.

“Dia tidak mahu dikenali ramai. Cukuplah saya katakan namanya bermula daripada huruf Z,” katanya selepas sidang akhbar drama Kum Kum The Series lakonannya baru-baru.

Pada majlis yang diadakan di Mutiara Damansara, Selangor itu pihak Astro Ria memperkenalkan para pelakon drama 13 episod itu termasuklah Marsha yang melakonkan watak Mawar.

Kata Marsha, dia sengaja memilih pasangannya bukan dari kalangan artis kerana takut dengan perceraian yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Saya dapati perkahwinan sesama pasangan artis ramai yang tidak kekal lama. Itu tidak bermakna saya menolak jodoh kalau ditakdirkan pasangan saya juga adalah golongan artis.

“Kalau boleh saya mahu elakkan perkara itu. Saya kenal Z secara kebetulan setahun lalu sewaktu majlis pelancaran restoran Kopitiam milik komposer Ajai di Kuala Lumpur.

“Sewaktu mula berkenalan, saya tidak tahu latarbelakang Z. Tidak kiralah sama ada dia orang kaya atau miskin. Kebetulan saya pula memang banyak bergaul dengan orang Melayu,” ujarnya.

Marsha yang akan muncul dengan album sulung berjudul Yang Pertama tidak lama lagi menambah, dia sudahpun memperkenalkan Z dengan keluarganya pada 6 Disember tahun lalu.

Disenangi

Pada majlis hari lahirnya yang ke-25 itu, Z telah bertemu dengan ibu bapa penyanyi berketurunan Kadazan Dusun di mana kehadiran jejaka itu turut disenangi sanak keluarganya yang lain.

“Sebelum itu, pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, saya juga telah pergi beraya di rumah keluarga Z di Klang, Selangor. Sekarang ini, keluarga dua belah pihak tahu hubungan kami,” jelasnya.

Sewaktu ditanya perancangan terdekatnya bersama Z, Marsha menjelaskan, dia belum menetapkan tarikh tertentu untuk menamatkan zaman gadisnya dalam waktu terdekat ini.

Sebaliknya, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh ini menyerahkan kepada jodoh di mana pada masa sama dia akan menjaga hubungannya dengan Z sebaik mungkin.

Gosip yang sering melanda Marsha turut mendapat perhatian teman lelakinya yang sering bertanya kebenaran di sebalik sesuatu gosip itu.

“Biasanya kalau ada keluar gosip saya dengan artis-artis lain, Z akan bertanya kepada saya, sama ada betul atau tidak. Bagaimanapun, dia bukan seorang yang kaki cemburu.

“Dia seorang yang amat mengambil berat tentang perkembangan diri saya. Saya pun tidak pasti sama ada hubungan saya dengan Z akan ke jenjang pelamin ataupun tidak.

“Pada masa sama, setiap kali ke majlis perkahwinan kawan-kawan sama sekolah, hati ini tiba-tiba hendak kahwin,” kata Marsha tanpa berselindung.

Kum Kum The Series akan bersiaran setiap hari Selasa mulai 12 April ini pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104, Astro).

Selain Marsha, turut membintangi drama arahan Michael Ang itu ialah Didie Alias yang melakonkan watak Mak Hitam, Elfira Loy (Shikin), Sharnaaz Ahmad (Yusof) dan Saiful Nizan (Ramli).
Bercerita tentang pengalamannya berlakon Kum Kum The Series, kata penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Alibi Music ini, dia berasa puas dengan watak Mawar yang dilakonkannya itu.

“Selain drama, saya juga ada menerima tawaran berlakon beberapa filem tetapi saya tolak kerana wataknya kurang sesuai dengan saya. Saya asyik diberikan watak gadis yang mengada-ngada.

“Selalunya saya menolak sesuatu tawaran berlakon filem kerana masa yang kurang sesuai,” tutur gadis manis tinggi lampai ini lagi.

Sejak 2005, Marsha telah melakonkan lebih 10 telemovie antaranya berjudul Rumah Terbuka AF3, Gitu-Gitu Raya, Besan vs Madu, 5 Saat, Beautiful Maria dan Cinta Meriam Buluh serta drama rantaian Hotel Mania, K.I.T.A., Dottie dan Awan Dania 3.

Sumber : Utusan Malaysia


Thanks kerana membaca. Tekan LIKE kalau suka :)

1 Cupids ❤:

Princess Nur said...

tak suka dia ni..gediks! :)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails