!! Live.Love.Laugh !!

Sunday, August 14, 2011

Home » , , » Leya yang fobia bunga api

Leya yang fobia bunga api

Leya
SUDAH namanya penyampai radio, bicara Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya meletus bagai bertih goreng. Tanyakan apa sahaja, pasti dia tidak lokek untuk berkongsi, sementelah dia bukan jenis selebriti yang hidup seiring sensasi.
 
Mudah dibahasakan Leya, anak sulung kepada pasangan Syed Zainal dan guru lakon, Siti Fatimah Abu Bakar ini masih seperti Leya yang dikenali dulu, sama seperti ketika dia belum bergelar isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimuddin serta ibu kepada pasangan kembar Aza Ameena dan Asha Ameena, 2 tahun.
“Saya macam dahulu juga, cuma perwatakan mungkin berbeza. Dah jadi mak orang,” katanya yang kini lebih banyak menghabiskan masa senggang bersama anak-anak.

Masih bertugas mengendalikan segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang, Leya, 28, kini muncul sebagai ikon iklan Ramadan di TV9.

“Ini kali pertama kolaborasi TV9 dan Hot FM untuk menjayakan iklan Ramadan di TV9. Untuk projek berkenaan, saya dan AG (penyampai Hot FM) terlibat dengan dua iklan Ramadan yang sedang disiarkan dan dua iklan Syawal yang bakal menyusul tidak lama lagi.

“Saya seronok dengan iklan begitu, saya tertarik sebab ia tidak seperti bersyarah. Setakat ini, respons yang diterima sangat bagus dan Alhamdulillah,” katanya yang sudah agak lama tidak muncul dengan filem mahupun drama baru.


LAKONAN

Saya tidak pernah mengisytiharkan berhenti daripada berlakon. Drama terakhir lakonan saya mungkin Mencari Jannah yang disiarkan Astro tidak lama dahulu. Saya pernah membintangi filem Mukhsin dan Magika cuma saya bukan jenis yang seratus-peratus dengan lakonan, filem atau drama, bukan macam adik saya, Nani (Syarifah Amani). Saya lebih kepada muzik dan penyampai di radio.

KURUS

Saya rasa sihat begini tapi ada juga orang kata saya anoreksia. Berat saya mungkin 42 atau 43 kilogram tapi saya bukan jenis yang tak makan, mungkin penat dengan kerja dan anak-anak. Saya makan banyak tapi cuba kawal jenis-jenis makanan tertentu. Nak tahu, ukuran pingggang saya sekarang sekitar 66.25 sentimeter, saya bangga sebab itu ukuran semasa saya belum berkahwin, sampai suami saya makan hati dibuatnya.

BUNGA API ATAU MERCUN

Sekarang saya tak suka mercun atau bunga api. Bunga api dan mercun mengingatkan saya terhadap bahaya yang menakutkan. Fobia sebenarnya. Dahulu masa kecil-kecil, kami adik-beradik bersama sepupu-sepupu yang sebaya ada bermain bunga api, tiba-tiba api menyambarkan pakaian pada badan sepupu saya. Kami semua panik dan nasib baik kecederaan sepupu saya tidak teruk walaupun habis pakaiannya terbakar.

SI KEMBAR

Kedua-dua, Aza dan Asha sangat aktif dan tidak pernah duduk diam sebab mereka berdua, ada kawan untuk diusik dan bermain. Kalau di rumah atau di mana sahaja, memang mereka kena diawasi sebab, berbanding Azza, Asha jenis yang agak cemerkap, dia suka terlanggar apa sahaja.

PERSIAPAN RAYA

Sesungguhnya kami (saya dan Ashraf) bukan jenis yang gemar membeli-belah. Baju yang saya pakai ini pun (sambil menunjukkan baju kurung warna biru yang menyaluti tubuhnya) ialah baju yang dibeli pada tahun lepas. Kalau untuk raya, biasanya saya akan ambil masa satu hari sahaja untuk keluar membeli-belah, dan pulun beli semua yang dikehendaki.

sumber : kosmo


Thanks kerana membaca. Tekan LIKE kalau suka :)

0 Cupids ❤:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails